2013-03-20

Tanya Sama Hati 22 & 23

http://mymfb.com/file/pic/photo/2012/12/3cdd1e96c3fca40ffddad3c1c43af13b_1024.gif 

dan salam sejahtera kawan2 semua!!! korang happy xhari ni??saya???errrrrrrrrmmmmmmmmm...tak brape nk happy kowwwtttt...sbb sgt stress dgn esemen yang melambak2...hohoi...tapi terpaksalah redha...sy cuba berpegang kepada kata2 ini...kata2 dari seorang ustazah yg saya kenali sewaktu jadi cikgi ganti dulu...."tak perlu nak mengeluh atau merungut bila diberikan kerja sbb kita sendiri yang minta semua itu." betul tak kawan2???? tak faham? ok..contoh...macam saya...takder org paksa sy smbg belajar..sy sendiri yg nk buat ni..sooooo...apa2 sahaja kerja yang diberi..sy perlu hadapinya juga dengan redha walaupun kerja itu berat. sama juga bila kite da kerja...kita sendiri yg pilih utk bekerja jd,redha-redhakanlah hati utk buat kerja itu yerrrrrrrrrrrrrrrr....xmo merungut2 lagi pas ni okeh...errrrrrkkkk (sy rasa sy tetap akan merungut juga bila da tak tahan).kehkehkehkeh...sesungguhnya inilah saya...sangat sewel! dah namanya pun manusia!!!!
oklah...xmo cakap banyak. disebabkan saya sedang tensen skrg ini...jadi sy bagi korang baca ni...hehe..terapi utk hilangkan tensen kononnya nihhhh....happy reading kawan2....opsss...sebelum terlupa...sy da betulkan bab2 yang terdahulu (bab 8 ke atas kalo xsilap) sbb ada yg komen sy post benda yg sama. tengkiu sgt!!!mcm nilah kawan..saling betul membetulkan(ade ke perkataan ni?)..kihkih...



Bab 22
Ika sudah berkira-kira mahu pulang. Meja sudah dikemas seadanya. Agak-agak sedap mata memandang, kira bolehlah. Dia memeriksa barang-barang yang mahu dibawa pulang. Semuanya ada. Beg tangan dicapai. Pintu bilik ditutup. Sempat dia menyapa beberapa orang rakan sekerja yang masih belum pulang. Ah, malas nak duduk lama-lama di pejabat. Asalkan semua kerja sudah siap, balik sajalah.
Beg komputer riba disumbat masuk ke dalam perut kereta yang baru dibeli sebulan yang lalu. Enjin kereta MyVi berwarna jingga itu dihidupkan. Sementara menunggu enjin keretanya panas, dia memeriksa telefon bimbitnya. Manalah tahu, ada panggilan atau sms yang tak disedarinya. Beberapa saat kemudian, dia mendengus kasar.
‘Salam cik adik yang manis. Buat apa tu? Dah balik kerja ke?’
Juling biji mata membacanya. Tak semena-mena tekak rasa mual. Ish, memang dasar lelaki tak reti bahasa. Orang dah tak nak layan tu, sudahlah. Ini, buat lagi muka tak malu. Meluat betul. Cepat-cepat dia menekan butang padam. Tak kuasa nak menyimpan mesej yang jiwang-jiwang karat tak kena tempat itu. Tolonglah.
Telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam beg tangan. Gear automatik ditolak ke huruf D. Pedal minyak ditekan dan kereta terus meluncur laju meninggalkan perkarangan universiti. Namun hati seorang perempuan, lama-lama diasak dengan kata-kata manis, tergerak juga hati untuk mengenali siapa sebenarnya gerangan yang sering mengganggu. Satu-persatu mesej-mesej cinta yang dihantar si pengirim misteri terlayar di benaknya.
‘Siapa sebenarnya mamat sengal ni ya?’ Hatinya sering tertanya-tanya. Setiap kali menerima mesej atau panggilan, memang dia akan segera memadamnya. Tapi selepas itu, dia akan mula berfikir. Buntu.
Syarifah pun masih belum bagi apa-apa respon. Dia percayakan Syarifah tapi dalam masa yang sama, ada curiga yang terdetik di hatinya. Manalah tahu jika memang Syarifah yang ‘menjual’ nombor telefonnya dan sengaja buat-buat tak tahu. Bukan boleh kira sangat minah seorang itu. Ada sahaja akalnya nak mengenakan orang.
Serta-merta ingatannya terarah kepada peristiwa sewaktu perjumpaan semula tak lama dulu. Kelibat lelaki yang dinanti sekian lama mengusik hati wanitanya. Senyuman dan lirikan mata Khairul Hilmi begitu menarik perhatiannya. Walaupun kehadiran wanita cantik yang merupakan isteri lelaki itu mengganggu tumpuannya, tapi perasaan cinta yang sudah tertanam sejak sekian lama terlalu sukar untuk dipadam.
Walaupun sudah beberapa kali dia katakan yang dia tak mungkin ada peluang untuk memiliki lelaki itu, tapi di satu sudut lain hatinya kuat mengatakan yang dia masih ada peluang. Bagaimana? Menjadi yang kedua? Tegakah dia merampas dan meruntuhkan kebahagiaan wanita lain? Tak mungkin. Jadi, apa caranya lagi?
“POOMMM!!” Bunyi hon kereta yang kuat menyentak jantung Ika. Ya Allah, sudah jauh benar dia berangan. Semuanya gara-gara Khairul Hilmi. Lelaki itu. Ika beristighfar beberapa kali. Nasib baik tak ada apa-apa.
Pemanduan diteruskan dan kali ini lebih fokus. Debar di dada masih bersisa. Stereng kereta dipegang kejap. Matanya tepat ke hadapan.
‘Lupakan dia, Ika.’
>> 
Hilmi memecut keretanya laju. Panggilan daripada mama membuatkan hatinya tak senang. Kenapa isterinya ada di sana? Kenapa Jenny tak bagitahu nak ke sana? Apa rahsia yang sedang cuba diselindung daripada pengetahuannya? Bertubi-tubi soalan menerjah otaknya.
“Assalamualaikum.” Pintu utama dibuka. Tiada siapa di ruang tamu.
“Mama…mama…” Panggil Hilmi. Tiada jawapan. Mungkin di atas. Belum sempat kakinya melangkah ke tingkat atas, terpacul wajah lembut ibunya dari dapur.
“Dah sampai dah. Isteri kamu ada berehat kat atas. Tak larat katanya. Kamu dah makan?” Puan Zalina menatang dulang yang berisi minuman. Hilmi tak jadi nak ke atas. Dia mendapatkan mamanya.
“Macam mana Jenny boleh ada kat sini ma? Dia tak bagitahu Mi pu yang dia nak ke sini. Dah lama ke dia datang?” Soal Hilmi seakan tak puas hati bila Nur Jannah tak memberitahunya yang dia datang ke mari.
“Pagi tadi dia datang.” Tak bercakap banyak. Nanti tersalah cakap, panjang pula ceritanya. Biarlah menantunya sendiri yang buka mulut. Tak elok masuk campur urusan rumah tangga orang. Mereka pun dah besar. Pandai-pandai sendirilah.
“Dia sakit ke mama?” Air teh dihirup perlahan. Lega sedikit tekaknya.
“Taklah. Dahlah, mama nak siapkan makan malam. Kamu naik solat dulu. Nanti turun kita makan sama-sama.” Tak mahu terus berpanjangan bersoal jawab dengan anaknya. Dia tak mahu terlepas cakap.
“Abang dah sampai? Maaflah, saya tertidur sekejap tadi.” Tangan suami diraih ke dalam genggamannya. Dicium tangan itu penuh kasih. Rasa bersalah menguasai diri.
“Abang nak naik solat dulu.” Segera Hilmi berlalu dari situ. Dia rasa sebal dengan karenah isterinya. Bukanlah bermakna dia marah tapi dia terasa hati dengan perbuatan itu. Nur Jannah buat hatinya risau tak menentu.
“Abang mesti marah. Nantilah saya pujuk dia.” Nur Jannah tarik kerusi dan duduk. Penatnya masih bersisa. Lemah rasanya seluruh badan. Mummy mahu dia berehat saja di sana, tapi dia tak sanggup nak berjauhan daripada suaminya. Tak biasa. Lagipun, Hilmi masih belum tahu mengenai perkara ini.
“Kamu cakaplah perlahan-lahan dengan dia. Mesti dia akan faham nanti.” Pujuk Puan Zalina. Memang tak dinafikan perbuatan menantunya itu salah tapi dia faham mengapa menantunya bertindak sedemikian. Dan rasanya anaknya akan faham juga.
“Mama, thanks ya. Kalau tak ada mama tadi tak tahulah apa yang saya akan buat. Rasanya saya tak akan jumpa mummy dengan daddy. Terima kasih ya mama.” Nur Jannah genggam erat tangan ibu mertuanya. Hari ini dia cukup bahagia. Dapat bertemu dengan kedua-dua orang tuanya memang impiannya.
“Dahlah tu Nur Jannah. Sekarang, pergi pujuk suami kamu tu. Mama faham kalau dia merajuk. Mama nak siapkan makan malam. Nanti panggilkan papa sekali ya?” Puan Zalina mengusap lembut belakang menantunya. Sebak dadanya mengenangkan peristiwa tadi. Pertemuan yang sangat menyentuh jiwa. Nyata sekali kedua-dua belah pihak menanggung rindu yang teramat. Alhamdulillah, tuhan makbulkan juga doa mereka semua.
>> 
Nur Jannah memulas tombol pintu. Perlahan-lahan daun pintu dikuak. Suaminya sedang solat. Dia melangkah perlahan menuju ke katil. Harap-harap rajuk suaminya tak berpanjangan. Senang sikit nak pujuk. Memang diakui, salahnya sendiri. Bukan bermaksud untuk mengenepikan Hilmi dalam perkara ini tapi dia tak mahu Hilmi menanggung kesakitan jika mummy dan daddy masih tak dapat menerima kehadiran mereka.
“Assalamualaikumwarahmatullah….Assalamualaikumwarahmatullah….” Hilmi meraup mukanya. Doa ditadah. Memohon kesejahteraan dan kebahagian mereka sekeluarga. Biarlah dirinya tak diterima sebagai menantu, yang penting Nur Jannah tetap setia di sisinya sampai bila-bila.
“Abang…” Seru Nur Jannah usai Hilmi mengaminkan doanya. Namun suaminya tak menyahut ataupun berpaling.
Hilmi melipat sejadah yang digunakan dan diletakkan di atas rak. Kopiah ditanggalkan dan diletakkan di atas meja. Dia melangkah ke jendela. Merenung kosong ke arah beberapa buah rumah lain yang terang benderang disimbahi lampu berwarna-warni.
“I’m sorry. Memang salah I tak bagitahu abang yang I nak datang sini. Please abang…” Rayu Nur Jannah. Tubuh sasa suaminya dipeluk dari belakang. Dia tenang. Rasanya tak mahu lepaskan pelukan itu.
“Kenapa sayang tak bagitahu abang yang sayang nak datang ke mari? Sayang kan tahu abang risau sayang drive jauh-jauh. Sayang mengandung.” Luah Hilmi. Masih lagi membelakangi isterinya. Pelukan Nur Jannah tak dibalas.
“I’m sorry…” Hanya itu yang mampu diucapkan oleh Nur Jannah. Pelukan makin dieratkan. Dia mahu suaminya tahu yang dia betul-betul minta maaf.
“Ada yang abang tak tahu ke? Sayang ada sembunyikan sesuatu daripada abang?” Hilmi meleraikan pelukan isterinya. Kini dia menghadap wanita yang amat dicintainya itu. Dia pandang tepat ke dalam anak mata wanita itu. Dia mahukan kepastian.
“Mana ada. I bosan sangat tadi. Tu yang I datang sini. Bukannya jauh sangat. Lagipun I tahu, kalau I bagitahu abang, mesti abang tak bagi.” Cuba mencari alasan. Entah kenapa susah sangat dia nak bagitahu perkara sebenar. Bolehkah Hilmi terima?
“Nur Jannah… Kenapalah sayang suka sangat buat abang risau. Sayang tahu tak yang sayang sekarang ni ada dua nyawa. Abang tak nak apa-apa berlaku. Abang nak sayang janji dengan abang yang lepas ni yang sayang tak akan buat macam ni lagi.” Hilmi mengucup dahi isterinya. Tak boleh nak marah lama-lama bila isterinya merayu begitu.
I promise.” Pelukan suaminya dibalas. Dia mahu menikmati saat itu.
I love you.” Bisik Hilmi. Deras air mata Jenny menitis. Dia tahu itu. Memang amat tahu. Hilmi menyintainya sepenuh hati. Dia juga. Tak ada keraguan.
“Dah, jom turun. Kesian mama tunggu.” Jenny mengangguk. Air mata diseka. Genggaman erat tangan Hilmi buat hatinya tambah bahagia. Dia mahu tunggu waktu yang sesuai untuk berkongsi berita gembira itu. Dia harap Hilmi dapat bersabar seketika.
 http://www.gtwebpublisher.co.uk/clients/ch/castellhowellcommunity/gtwp_images/spring_flower_border.jpg

Bab 23
Bunga-bunga pelbagai warna yang memekar di laman rumahnya dipandang dengan senyuman. Salah satu terapi jiwa. Tumbuhan yang berwarna-warni memang menceriakan. Laman yang sederhana besar itu penuh dihiasi dengan bunga-bungaan dan tumbuhan hijau. Itu minatnya.
Pokok-pokok kecil berwarna hijau yang mencacatkan pemandangan di dalam pasu bunga dicabut satu-persatu. Dia senang begini. Menghabiskan sisa-sisa hidup dengan merehatkan diri, melakukan perkara yang digemari dan mendekatkan diri dengan Pencipta.
Sesekali matanya melirik pandang ke arah jalan raya di hadapan. Biasanya waktu begini orang yang dinanti sudah sampai. Ah, mungkin dia sibuk. Tunggulah sekejap lagi. Dia mencapai penyapu lidi. Menyapu beberapa helai daun kering yang gugur. Penat menyapu, dia duduk. Kudrat sudah tak segagah dulu. Dia akur.
“Morning mama.” Faiz memeluk lembut bahu mamanya.
“Dah sarapan ke? Mama ada buat nasi goreng tu.” Wajah anak tunggal kesayangan direnung penuh kasih. Hasil perkongsian hidup dengan lelaki yang amat dicintai. Walaupun hidup tak seperti isteri lain, tapi dia bahagia. Punya anak lelaki yang baik dan suami yang mengasihinya, itu sudah cukup buatnya. Tak perlu harta bertimbun.
“Mama tunggu orang ke?” Sengaja dia bertanya. Dia tahu siapa yang ditunggu mamanya. Suami yang hanya tahu memberi makan dan pakai. Bukan kasih sayang.
Puan Sofia tak menjawab. Hanya senyuman yang diberi. Dia tahu Faiz tak begitu menyenangi papanya sendiri. Masakan tidak, boleh dikira hanya berapa kali suaminya mendukung dan mengucup anak mereka. Wang ringgit memang tak pernah kurang, tapi Faiz kurang kasih sayang seorang bapa. Hanya dirinya sahaja yang ada sewaktu anaknya itu membesar.
Suaminya hanya beberapa kali menjenguk. Jauh sekali membawa mereka sekeluarga bercuti. Singgah pun tak lebih daripada dua jam. Tak sempat nak bermanja. Dia tak boleh nak salahkan suaminya seratus peratus. Dia yang bersetuju untuk menerima lamaran lelaki itu. Lelaki yang terlalu dikasihinya. Walaupun tak pernah terlintas di hatinya untuk menjadi isteri kedua, tapi itu yang sudah tertulis untuknya. Dia redha.
“Assalamualaikum.” Pantas kedua-dua beranak itu berpaling ke arah pintu pagar. Seorang lelaki berdiri di luar. Puan Sofia mengeluh perlahan.
“Waalaikumussalam.” Puan Sofia bangun dan membuka pintu pagar.
“Mana Encik Zainal?” Tanya Puan Sofia. Wajahnya penuh mengharap agar lelaki yang ditunggu saban hari itu muncul.
“Tuan sibuk. Dia ada mesyuarat di Melaka.” Dollah beredar ke kereta majikannya. Dia membuka bonet belakang, mengeluarkan barang-barang dapur seperti kebiasaannya.
Faiz hanya memerhati dari jauh. Tak berniat nak membantu. Tambahan, dia tak sanggup nak lihat wajah kecewa mamanya setiap kali tak dapat bersua muka dengan sang suami yang sentiasa dinanti. Kesian mama. Kenapa mama boleh begitu setia dengan lelaki seperti itu.
“Terima kasih Dollah. Nanti kirim salam dengan dia ya?” Pintu pagar ditutup. Jelas wajahnya kecewa walaupun cuba ditutup dengan senyuman. Puan Sofia memerhati sehingga kereta suaminya hilang daripada pandangan. Tak dapat tengok tuannya, tengok kereta pun jadilah.
“Mama, jom masuk. Faiz lapar. Lepas makan nanti, kita pergi jalan-jalan ya. Lama Faiz tak keluar dengan mama.” Cuba memujuk mamanya yang masih lagi jelas riak kecewanya. Wajah yang manis sebentar tadi sudah tiada. Pasti mamanya menangis lagi nanti. Bila semuanya akan berakhir?
“Mama tak laratlah. Kalau Faiz nak pergi, Faiz pergilah. Mama nak rehat.” Lemah langkahnya menuju ke dalam rumah. Memang dia kecewa. Sudah beberapa bulan dia tak bertemu dengan suaminya. Dia rindu nak tatap wajah lelaki itu. Sekejap pun jadilah.
Faiz turut sama merasa kekecewaan mamanya. Walaupun dia tak sukakan papanya, tapi dia tahu yang mama terlalu cintakan lelaki itu. Kalau dulu dia selalu memberontak dalam diam setiap kali mamanya menangis kerana rindukan lelaki itu, kini dia faham. Dia tahu mamanya sangat setia.
Dia sendiri sudah tak ingat bila kali terakhir dia berjumpa dengan lelaki itu. Lama dulu. Dia tak kisah semua itu. Lelaki itu tak penting dalam hidupnya. Selama ini pun, hanya mama yang menjaga dan membesarkannya. Dia pun sudah lupa yang dia ada seorang ayah.
Puan Sofia merebahkan dirinya ke katil. Tudung yang menutupi kepalanya ditanggalkan. Sudah ada rambut putih yang menggantikan rambut hitamnya. Air mata yang bergenang cuba ditahan agar tidak keluar. Sungguh dia rindu. Gambar lelaki itu yang setia menemani tidur malamnya dicapai. Gambar berbingkai emas itu ditatap lama. Gambar yang berada dalam simpanannya selama berpuluh tahun. Gambar di hari perkahwinan mereka.
Waktu itu dia adalah wanita paling bahagia. Walaupun perkahwinan itu hanya dilakukan secara tertutup, tapi dia tetap bahagia kerana dia telah memiliki lelaki yang dia cintai sekian lama. Walaupun dia tahu jalan yang diambil pasti akan penuh dengan ranjau dan liku tapi dia yakin, lelaki itu pasti akan memimpin dan bersama dengannya pada setiap langkah yang diatur.
Cincin perkahwinan pemberian lelaki itu masih tersemat kukuh di jari manisnya. Sekukuh cintanya. Air mata yang tertahan merembes jua. Gambar itu terus ditatapnya. Seakan rindunya sudah tak tertanggung.
“Abang janji abang akan jaga Fia sampai bila-bila. Abang tak akan sia-siakan hidup Fia. Abang pun nak Fia janji yang Fia akan setia dengan abang. Sabar dan percayakan abang.” Janji yang diungkap Zainal sewaktu malam pernikahan mereka. Sofia masih ingat setiap patah perkataan itu. Waktu itu, kepercayaannya kepada suami yang baru dinikahi adalah seratus peratus.
“Fia percayakan abang. Abang jangan sia-siakan Fia ya?” Berjuraian air mata meminta belas simpati. Doanya cuma satu, agar hati suaminya tak berubah dan berpegang pada janji. Dia tak minta harta yang berlebihan, cukup dengan kasih sayang.
“Abang janji Fia, abang janji.” Sofia ukir senyum dalam tangisan. Kini Zainal sudah jadi suaminya dan dia adalah seorang isteri. Walaupun menjadi yang kedua, dia tak ralat. Dia pasrah dan terima seadanya.
“Mama…” Seru Faiz. Dia mendekati katil. Tubuh kecil mamanya yang tersedu-sedan menahan tangis buat hatinya luluh. Bertahun wanita cekal ini menderita. Bilakah semuanya akan berakhir?
“Mama ok?” Faiz duduk di lantai berhadapan dengan Puan Sofia. Mata merah Puan Sofia memercikkan amarah di hatinya.
“Mama ok. Faiz dah makan ke?” Puan Sofia mengesat air mata. Dia menegakkan badannya. Kasihan anaknya. Pasti dia turut bersedih.
“Dah. Mama nak jumpa papa ke?” Tak sanggup dia melihat si ibu dalam keadaan bersedih begini.
Puan Sofia diam. Dia mengerut dahi. Meminta maksud kata-kata anaknya.
“Tak adalah Faiz. Biasalah, dah lama tak jumpa papa. Rindu sikit saja. Nanti oklah ni. Dahlah. Mama nak turun. Nak masak tengahari.” Puan Sofia bingkas bangun. Lama-lama bercakap mengenai suaminya buat hati tambah rindu dan pilu.
“Kita pergi jumpa papa?” Usul Faiz. Puan Sofia tak jadi melangkah. Dia kembali berpusing kea rah anak lelakinya. Anaknya bergurau?
“Apa Faiz cakap ni?” Mungkin anaknya hanya rasa sedih melihat dirinya menangis mengenangkan suami. Tak mungkin anaknya mahu berjumpa dengan si ayah yang sudah bertahun tak bertentang mata.
“Sampai bila mama nak hidup macam ni? Setakat menghantar barang dapur dan duit belanja, itu Faiz pun boleh bagi. Mama isteri dia. Mama pun ada hak untuk jumpa dengan dia. Ini tak adil mama.” Faiz meluahkan ketidakpuasan hatinya. Dah lama dia pendam. Dia tahu mamanya isteri kedua. Tapi isteri kedua tetap juga seorang isteri. Ada hak untuk merasa bahagia.
“Faiz, Faiz tak faham nak. Mama tak macam isteri kedua yang lain.” Begitu murah harga air matanya. Sekali lagi merembes.
“Apa yang tak sama? Mama juga bernikah dengan tok kadi. Ada akad. Melahirkan Faiz. Apa yang tak sama? Cuba mama cakap dengan Faiz.” Masih lagi tak dapat terima keadaan yang sedang berlaku. Mamanya sudah tersedu di penjuru katil.
“Perkahwinan mama dengan papa adalah rahsia. Tak ada sesiapa pun tahu kecuali mama, papa, dan beberapa orang lain. Keluarga papa pun tak tahu, termasuk isteri pertamanya. Sebab itu mama terpaksa bersabar. Semua ini dugaan untuk mama kerana memilih suami orang sebagai suami mama.” Tersekat-sekat suaranya membongkar kebenaran. Dia harap anaknya akan mengerti.
“Tapi mama…” Semua itu bukan alasan. Walaupun nyata dia sedikit terkejut tapi itu semua bukan alasan untuk papanya mengabaikan mereka berdua. Papa tak adil.
“Dahlah Faiz. Mama tak mahu cakap pasal ni lagi.” Putus Puan Sofia. Cukuplah setakat itu sahaja.
Faiz diam. Kenapa hati mamanya begitu cekal? Di mana papanya sekarang? Hatinya memberontak mahu tahu perihal keluarga papanya yang lagi satu. 

p/s:memula ingatkan nk post 1 bab jer..tapi tetiba rasa nk abiskan citer ni cepat2...stressss!!! doakan saya berjaya ya kawan2!!sangat mengharapkan doa kalian :)
 

No comments:

Post a Comment