Bab 24
Ika meletakkan telefon bimbitnya di sebelah. Ada
senyuman yang terukir di bibirnya. Entah kenapa dengan dirinya. Sudah dilamun
cinta mungkin? Entahlah, dia sendiri tak ada jawapan untuk itu.
Sejak dua bulan kebelakangan ini, hampir setiap hari
Faiz menelefonnya. Tak tahu apa motif lelaki itu tapi yang penting dia tak rasa
terbeban dengan panggilan itu. Dia senang. Pemanggil misteri? Sudah tidak
menjadi misteri lagi. Rupa-rupanya dia adalah kawan kepada suami Syarifah,
Anas. Dah agak. Tapi dah lama dia tak telefon atau mesej. Mungkin dah merajuk
sebab tak dilayan. Ah, lupakan saja. Itu tandanya lelaki itu tak
sungguh-sungguh mahukannya.
Faiz lain. Dapat dilihat kesungguhannya. Kesabarannya
menanti hingga ke hari ini sejak dari universiti dulu sedikit mengusik naluri
wanitanya. Perlukah dia sambut kesetiaan cinta lelaki itu sekaligus melupakan
rasa cinta yang masih berbaki buat Khairul Hilmi? Mampukah dia mencintai Faiz
sebagaimana dia mencintai Khairul Hilmi?
Rasa mengantuk yang dirasai sebentar tadi menghilang.
Tanda tanya mengenai hatinya pula yang bertandang. Ika berkalih ke kiri dan
kanan. Berkelip-kelip matanya memandang siling yang kosong. Dia memang
menyenangi Faiz tapi dalam masa yang sama dia masih tak dapat padamkan perasaan
cinta yang dipendam pada Hilmi.
‘Ika, Hilmi tu dah ada isteri. Sekarang mereka sedang
berbahagia menunggu kelahiran anak mereka. Apa lagi yang kau tunggu? Faiz tu
baik. Setia menunggu kau sampai sekarang. Kau tak perlu nak fikir banyak.
Terima Faiz dan lupakan cinta gila kau terhadap Khairul Hilmi. Dia bukan untuk
kau.’
Hati kecilnya berbisik menentang akal fikirannya. Kenapa
payah sangat untuk dia lupakan Hilmi? Apa yang lelaki itu ada dan lakukan
sehingga dia jadi tak keruan setiap kali mendengar dan mengingatkan nama itu?
Ika makin gelisah. Dia dalam dilema. Dilema yang dicipta sendiri.
Ika pejam mata rapat. Tak mahu berterusan memikirkan
masalah ciptaannya. Dia harap mimpinya mengkhabarkan sesuatu agar kekusutan
minda dan hatinya dapat dileraikan. Dia harapkan hari esok dia boleh menjadi
seorang yang mampu membuat keputusan yang baik. Baik untuk dirinya dan baik
untuk mereka yang terlibat.
>>
Nur Jannah mengusap perutnya yang hanya menunggu hari
untuk kembali kosong. Berjalan sedikit sudah terasa mengah. Perlahan-lahan dia
duduk. Air kosong diteguk beberapa kali. Tekak rasa lega sedikit. Gerakan-gerakan
halus yang dirasai buat hatinya berbunga bahagia. Tak sabar rasanya nak menatap
wajah si kecil yang saban hari dinanti.
‘Baby, mama minta maaf tau kalau mama tak sempat nak
jaga baby. Baby harus tahu yang mama sayang baby sangat-sangat. Anak mama mesti
jadi orang yang baik. Dengar cakap papa, cakap atuk dan nenek. Janji dengan
mama ya?’
Hatinya dipagut rasa sendu. Entah kenapa hatinya
benar-benar cepat tersentuh kebelakangan ini. Hatinya juga rasa takut setiap
kali memikirkan mengenai kelahiran anak sulung yang bakal ditempuh. Pertarungan
nyawa bagi melahirkan nyawa baru. Mungkin juga ada yang terpaksa mengorbankan
nyawa untuk itu. Nur Jannah mengusap perutnya lagi. Dia mahu lihat wajah kecil
anaknya biarpun hanya diberi masa seminit.
Sudah dua hari dia bercuti. Kalau diikutkan Hilmi,
awal-awal lagi disuruhnya bercuti tapi dia yang tidak mahu. Larat lagi nak
bekerja. Lelaki itu begitu memanjakannya. Terlalu menjaga keselamtannya. Buat
itu tak boleh, buat ini tak boleh. Kadang-kadang dia rimas juga tapi dia tahu
niat lelaki itu. Terima kasih sayang.
Hilmi juga sudah tahu mengenai rahsia yang disimpannya.
Mengenai penerimaan orang tuanya. Bukan main teruja lagi lelaki itu bila
dikhabarkan berita gembira itu.
“Abang, I ada perkara nak bagitahu you.” Nur Jannah
melentokkan kepalanya ke dada bidang Hilmi. Lengan sasa itu dipaut erat.
“Apa dia sayang?” Tumpuan sebentar tadi kepada siaran
Buletin Utama sedikit terganggu dengan haruman rambut isterinya. Elusan halus
di lengannya juga buat dia rasa tenang.
“Tapi sebelum tu, I nak minta maaf. Maaf sangat-sangat.”
Nur Jannah ketap bibir. Ada sedikit getar di hatinya. Dia tak dapat nak
pastikan apa reaksi yang akan ditunjukkan oleh Hilmi.
“Why?” Hilmi kerut dahi. Dia mencari wajah mulus
isterinya, cuba mencari jawapan di situ tapi dia tak dapat. Nur Jannah ada buat
sesuatu tanpa pengetahuannyakah?
“Abang ingat tak bulan lepas masa abang ambil I dekat
rumah mama?” Otaknya masih ligat menyusun ayat agar semuanya nampak tersusun.
Hilmi sekadar mengangguk. Masakan dia boleh lupa perkara
itu. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa deras jantungnya bergetar. Pelbagai
andaian bermain difikiran. Hanya Nur Jannah yang memenuhi benaknya.
“Sebenarnnya, I pergi sana bukan sebab I bosan. Memang I
sengaja ambil cuti hari tu sebab…” Nur Jannah tak habiskan ayatnya.
Hilmi pandang tepat ke wajah isterinya. Buletin Utama
sudah tak menjadi tarikan buatnya. Rahsia yang cuba dirungkai Nur Jannah lebih
membuatkan hatinya ingin tahu. Kenapa baru sekarang isterinya mahu buka cerita?
“Sebab apa?” Tak sabar. Nur Jannah tunduk. Renungan
tajam mata Hilmi buat dia kecut. Serta-merta keberanian yang dibina sejak siang
tadi merudum. Nak berundur sudah tak dapat.
“Sebenarnya…I dengan mama pergi…ermm…” Sejuk kedua-dua
tangannya. Bantal kecil di hujung sofa dicapai dan dipeluk erat. Cuba membina
kembali kekuatannya. Mahu tak mahu dia terpaksa juga bongkarkan semuanya.
“You dengan mama pergi mana?” Sudah hilang panggilan
sayang yang sering diguna. Memang diakui dia memang marah sekarang. Sampai hati
Nur Jannah berahsia dengannya. Mama pun terlibat sama. Apa yang kedua-dua
wanita ini cuba buat?
“Rumah...mummy dan daddy.” Perlahan saja. Kepala terus
ditundukkan. Kalau boleh dia tak mahu tengok wajah marah Hilmi. Dia takut.
“What? You pergi rumah mummy dan you langsung tak
bagitahu I? Jenny, apa semua ni?” Jelas sekali yang Hilmi sangat kecewa.
Serta-merta air mata Nur Jannah menitis. Dia tak berniat nak buat Hilmi marah
atau kecewa.
“Abang, I’m sorry.
I terpaksa buat begitu.” Jari-jemari Hilmi dipegang erat. Dia mahu lelaki itu
tahu yang dia betul-betul minta maaf. Dia terpaksa.
“But why? I ni
suami you.”
“I know. Tapi I takut you takkan benarkan I pergi ke
sana. Jadi I terpaksa pergi tanpa pengetahuan you. I juga yang suruh mama
rahsiakan semua ni daripada you.” Dia pohon agar Hilmi memahaminya.
Hilmi diam. Meredakan sedikit kemarahan yang tiba-tiba
meletus. Bukan dia marah jika isterinya pergi berjumpa dengan kedua orang tua
itu tapi dia risaukan keselamatan wanita itu. Apa akan berlaku jika Nur Jannah
dicederakan atau dimarah dan dihina hingga wanita itu mengalami tekanan? Itu
semua akan menjejaskan kandungan isterinya. Dia tak mahu ada apa-apa yang buruk
berlaku.
“Abang…” Seru Nur Jannah bila melihat suaminya hanya
diam. Marah sangat sampai tak nak bercakap? Dia mengeluh perlahan.
“Apa mummy dan daddy cakap? Mereka mengamuk lagi ke?”
Hilmi kembali buka mulut bila api kemarahan sedikit reda. Nada suara juga
berubah mendatar.
Nur Jannah ukir senyum. Lega bila suara itu berubah
rentak. Itu yang buat dia sayang sangat-sangat dengan suaminya. Marah tak lama.
Cepat betul sejuk.
Tangan Hilmi diraih ke dalam genggaman tangannya. Nur
Jannah pandang wajah suaminya dengan pandangan penuh kasih. Dia ukir senyuman
semanis mungkin. Harap lelaki itu faham maksud tersirat di sebalik senyuman
itu.
Hilmi angkat kening bila soalannya tak berjawab. Kenapa
isterinya senyum? Adakah itu tandanya…
“Maksud sayang? Mereka dah…” Senyuman Nur Jannah makin
lebar menampakkan giginya yang tersusun cantik. Dia angguk perlahan. Mengiyakan
telahan Hilmi.
Hilmi seakan tak percaya. Bertahun mereka berdua
menunggu saat ini. Akhirnya, doanya makbul juga. Syukur Ya Allah. Dia raih
isteri kesayangannya ke dalam pelukan. Erat. Ubun-ubun wanita itu dukucup lama.
Perasaannya bercampur-baur. Patutlah isterinya kelihatan ceria saja sejak
akhir-akhir ini. Ini rupanya rahsia yang disimpan.
“Tapi abang tetap tak puas hati.” Pelukan dileraikan.
Hilmi tarik muka masam. Dia peluk tubuh. Nur Jannah kerut dahi. Kenapa pula
dengan suaminya? Tiba-tiba saja anginnya berubah. Tadi bukan main gembira lagi.
“Kenapa pula? Abang tak suka mummy dan daddy dah boleh
terima kita?” Bukan itu ke yang dimahukan Hilmi selama ini? Dulu, bukan main
lagi lelaki itu menyuruhnya pergi berjumpa mummy dan daddy. Sekarang, bila
keadaan dan ok, dia pula yang buat perangai.
“Kenapa baru sekarang nak bagitahu abang berita gembira
ni? Nampak sangat tak sayang abang. Dah dapat balik mummy dengan daddy dia,
kita kat sini terus lupa.” Merajuk rupanya. Ketawa Nur Jannah meledak. Tua-tua
macam ni pun nak merajuk lagi. Buruk betul.
“Apalah abang ni. Ingatkan tak puas hati pasal apa tadi.
Sorrylah bucuk sayang. I tunggu masa
yang sesuai. Lagipun, abang busy saja
akhir-akhir ni. Sorry ok?” Nur Jannah memaut tengkuk suaminya. Menghadiahkan
kucupan hangat di pipi lelaki itu tapi Hilmi masih dengan rajuknya.
“Hmm…susah juga nak pujuk. Tak apalah. Malam ni I dah
mengantuk. Esok sajalah I pujuk ya?” Nur Jannah angkat punggung. Masih awal
lagi sebenarnya. Dia jeling Hilmi yang berkerut dahi. Mesti sebab geram tak
dipujuk. Nak merajuk sangat kan?
“Macam tu aje?” Tak puas hati. Baru nak bermanja-manja.
Sudahnya ditinggalkan begitu saja? Tak boleh jadi.
Nur Jannah menjeling manja. Senyum menggoda terukir di
bibir. Hilmi juga lakukan perkara yang sama. Punat alat kawalan jauh televisyen
ditekan. Skrin televisyen bertukar hitam. Siapa yang boleh merajuk lama kalau
dapat isteri pandai menggoda begini?
Bab 25
Ika membetulkan tudung biru yang dipakai. Sesekali dia
mengerling jam di tangan. Masih ada lima minit sebelum waktu yang dijanjikan.
Hampir sepuluh minit di situ, hanya seteguk air yang diminum. Semuanya
gara-gara dia rasa berdebar. Kenapa?
“Assalamualaikum.” Suara garau tapi lembut milik jejaka
yang dinanti buat debaran di dada makin kencang.
“Waalaikumussalam.” Ika sedikit menggelabah seolah-olah
ini kali pertama dia bersua dengan Faiz.
‘Tenang Ika, tenang.’
Faiz duduk bertentangan dengan Ika yang hanya
menundukkan wajah sejak tadi. Faiz senyum. Tak berubah langsung. Macam manalah
dia tak terpikat? Walaupun Siti Zulaikha
tidak diketegorikan dalam kalangan wanita tercantik, tapi sifat malu dan
kelembutan yang sentiasa ditunjukkan wanita ini betul-betul buat dia istimewa
dan cantik di hatinya.
“Dah lama Ika tunggu?” Faiz pandang tepat ke arah Ika
sambil menongkat dagu dengan kedua-dua tangannya. Lama tak merenung wanita
pujaan hatinya dalam diam ini.
“Taklah. Baru jugak sampai.” Ika memberanikan diri
mengangkat sedikit mukanya tapi tak lama bila mata tajam Faiz asyik merenungnya
tepat.
“Ika sihat?” Dia masih tak puas merenung di jantung
hati. Dia tahu Ika malu tapi dia tak dapat nak mengalihkan matanya memandang
benda lain. Ika betul-betul buat hatinya tenang. Lupa sekejap pada kesibukan
tugas seharian.
“Alhamdulillah.”
‘Faiz, tolonglah jangan renung saya macam tu. Lemah
semangat ni.’ Memang dia sedang cair dengan renungan Faiz. Kenapa sekarang baru
dia rasa? Dulu pun Faiz selalu renungnya tapi dia tak rasa apa-apa. Tapi
sekarang, dia rasa macam nak balas renungan tu. Adakah itu tanda-tanda dia
sudah….
“Ika tak nak tanya saya ke?” Soalan Faiz mematikan teka-teki
ciptaannya.
“Hah? Tanya apa?”
‘Kenapa dengan kau ni Ika? Mamai ke?’ Ika cubit pehanya
sendiri. Dia mengaduh kecil. Sakit. Sedar lagi.
“Ya lah. Asyik saya aje yang tanya. Awak tak nak tanya
ke saya sihat ke tak, dah makan ke belum, semalam tidur lena ke tak, mimpi awak
ke tak?” Faiz ketawa kecil. Dia sekadar bergurau. Tapi kalau betul-betul pun
apa salahnya. Ika memang sentiasa dalam mimpinya. Siang malam.
“Oh, lupa. Faiz sihat ke?” Ika angkat sedikit muka. Cuba
untuk sedikit berani. Dia ukir senyum. Memandang wajah Faiz buat dia leka
seketika. Kenapa baru sekarang dia perasan akan semua itu? Mata Faiz cantik.
Alis mata tersusun kemas. Tiada misai, tiada janggut. Wajah itu bersih.
“Ika?” Sepantas kilat pandangannya dilarikan. Malu.
Sungguh dia malu. Faiz perasan ke? Malunya.
“Tak kerja ke hari ni?” Cepat-cepat dia meneguk minuman
di hadapannya. Cuba menutup debaran yang kian menggila. Mukanya terasa panas.
Malu!
“La…hari ni kan hari Ahad. Mestilah cuti. Lainlah kalau
saya ni polis. Kenapa? Ika kerja ke hari ni?” Faiz cuba tahan gelak. Merah pipi
Ika sudah jelas kelihatan. Kesian wanita ini. Kenapa Ika gelabah sangat? Dulu
tak malu pun. Sekarang ni macam lain pula. Jangan-jangan Ika dah jatuh hati
padanya. Senyuman di bibir makin lebar. Andaian sendiri yang buat dia bahagia.
Kalau betul, bukan setakat padang golf dia tadahkan, seluas alam semesta ni dia
sanggup sembahkan.
“Oh, lupa.”
‘Ika, kau ni apahal. Dari tadi asyik lupa memanjang.
Cuba tenang sikit. Buat malu aje.’ Dia tarik nafas dalam. Cuba untuk berlagak
setenang mungkin walaupun dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
“So, macam mana kerja? Mesti seronokkan? Faiz pun dah
nampak macam makin berisi.” Tenang dan harapnya boleh bertahan sehingga ke
akhir pertemuan mereka.
“Ya ke? Saya sendiri pun tak perasan. Tajam juga mata
Ika ni ya?” Usik Faiz membuatkan Ika tersipu malu. Dia suka tengok Ika begitu.
Comel betul.
‘Please jangan buat saya malu. Nanti penyakit gelabah
saya datang lagi.’
“Kerja pun ok. Tak banyak masalah sangat cuma biasalah
bila ada projek, sibuk sikit. Lagipun orang baru, mestilah kena kerja kuat
sikit kan? Nanti kalau nak masuk meminang anak orang, senang.” Terbatuk Ika.
“Gadis manalah yang bertuah tu kan? Untung dia dapat
Faiz.” Tak sepenuh hati. Faiz senyum lebar. Teringatkan si jantung hati? Ika
jadi tak senang duduk.
‘Faiz, awak belum ada teman istimewa lagi kan?’ Ika
tersedar. Macam mana dia boleh fikirkan benda macam tu? Betulkan Siti Zulaikha
yang sedang bertentang mata dengan Faiz sekarang ini? Ika geleng kepala. Kenapa
dia rasa semacam.
“Awaklah.” Selamba Faiz menjawab. Bulat mata Ika. Dia
telan liur. Budak Faiz ni biar betul.
“Pandai Faiz bergurau. Siapalah saya ni. Muka tak
cantik, dahlah tak pandai bergaya.” Dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Rasa
macam nak melompat. Tapi kenapa rasa macam tu pula? Hati rasa berbunga-bunga.
Ika, Apa dah jadi?
“Siapa kata tak cantik. Saya rasa Ika manis sangat.
Comel.” Manis betul mulut Faiz. Tapi itu semua ikhlas dari hatinya. Perasaan
yang ada sejak beberapa tahun dulu masih kekal. Tak padam.
Sekali lagi Ika terpesona. Terbuai dengan kata-kata
manis Faiz. Baru dipuji sedikit dah lemah longlai. Rasanya kalau Faiz ajak
kahwin mesti terus setuju. Hilang terus bayangan Khairul Hilmi yang dicinta
setengah mati.
“Ika, hati saya tak pernah berubah. Tetap sama seperti
dulu.” Wajah Faiz serius. Ika juga. Terkejut dengan pengakuan yang tiba-tiba.
Ika tunduk. Dia tahu itu.
Dia pernah tolak cinta Faiz waktu mereka sama-sama masih
menuntut dulu. Waktu itu dia memang betul-betul tak bersedia untuk bercinta
tambahan pula hatinya sudah tertutup buat lelaki lain setelah cinta Khairul
Hilmi memenuhi ruangan hatinya. Dia jadi seorang yang setia dengan cinta yang
dia sendiri tahu yang dia hanya bertepuk sebelah tangan.
Tapi sekarang, hati yang tertutup itu seolah-olah
terbuka kembali bila cinta Khairul Hilmi seolah-olah meninggalkan takhtanya
secara perlahan-lahan. Dia sedar yang lelaki itu tak akan jadi miliknya.
Patutkah dia beri peluang itu kepada Faiz? Betulkah dia telah betul-betul
lupakan Khairul Hilmi?
“Faiz akan tunggu sampai Ika bersedia. Bila-bila pun.
Beri peluang untuk Faiz menyayangi Ika. Perasaan Faiz jujur. Faiz ikhlas.”
Sekali lagi Ika terperangkap. Apa yang perlu dia katakan? Menerima atau menolak
sekali lagi?
Baru sekejap tadi dia rasa bahagia. Baru sekejap tadi
dia rasa jatuh hati. Tapi sekarang dia bingung. Adakah dia betul-betul jatuh
hati atau itu hanyalah perasaan biasa? Dia tak boleh beri keputusan sekarang.
>>
Ika mengeringkan rambutnya yang basah. Dia duduk
mengadap cermin. Memandang kosong ke arah wajahnya sendiri. Fikirannya buntu.
Persoalan yang ditinggalkan petang tadi masih belum ada jawapan. Dia tahu Faiz
masih setia menunggu jawapan darinya. Tapi adakah dia punya jawapan untuk itu?
Ika beralih ke katil. Dia duduk sambil memeluk lutut.
Memikirkan kembali kata-kata Faiz lewat pertemuan mereka petang tadi. Walaupun
pertemuan itu tak sampai dua jam tapi jawapan yang perlu difikirkan olehnya
memakan masa yang lama. Mungkin jika diberi dua puluh jam atau dua ratus jam,
dia masih belum mampu untuk memberikan jawapan yang muktamad.
Faiz. Dia akui lelaki itu memang baik. Sopan. Selama
perkenalan mereka, lelaki itu tak pernah ambil kesempatan. Dia boleh nampak
keikhlasan yang ada dalam hati lelaki itu. Tapi kenapa hatinya begitu payah untuk
menerima cinta yang tulus itu? Tak cukupkah itu semua untuknya? Terlalu
memilihkah dia? Tak mungkin untuk dia memilih. Dia masih sedar diri.
Dia akui dia selesa bila bersama Faiz. Sejak dulu pun.
Tapi perasaan itu cuba ditepis seboleh mungkin. Hanya kawan. Itu yang dia
tetapkan. Hatinya masih teguh buat si jejaka yang pernah menghinanya. Bodoh
betul. Tapi dia tak dapat melawan kehendak hati.
Kemesraan yang kembali terjalin sejak dua bulan lalu
buat dia makin selesa dengan lelaki yang penuh kesantunan itu. Tapi adakah
alasan selesa cukup untuk dia terus menerima cinta yang dihulur? Dia bingung.
Betul-betul bingung. Untuk menolak cinta Faiz buat kali kedua, dia seakan tak
sanggup. Melihat sahaja wajah itu, dia jadi lembut hati tiba-tiba. Penuh pengharapan.
Kalau dulu, menuntut ilmu dan tidak bersedia jadi
alasan. Sekarang ini, apa pula alasannya? Takkan belum bersedia juga? Umur
sudah layak menimang anak. Takkan nak bagi alasan sudah ada yang mencuri hati?
Siapa? Khairul Hilmi yang sudah berkahwin?
“Arrgghh…susahnya.”
‘Tak susah pun Ika kalau kau terima Faiz dan lupakan
Hilmi.’ Bisik hati kecilnya.
‘Kau betul-betul boleh lupakan Hilmi ke? Kau cintakan
Faiz?’ Akal pula melontar pertanyaan
‘Hilmi dah kahwin. Buat apa kau tunggu lagi. Faiz dah
tawarkan cinta, terima saja.’
‘Apa guna kau terima jika kau masih ingatkan lelaki
lain? Kau hanya seksa Faiz.’
Ika betul-betul tak dapat berfikir dengan waras. Apa
yang perlu dia lakukan? Nak minta pendapat orang? Siapa? Dia malu. Lagipun tak
siapa tahu mengenai Hilmi. Dia tak boleh bocorkan rahsia.
Dia menghempaskan badannya. Menutup mukanya dengan
bantal. Kenapa mesti dia berada dalam situasi begini? Tak pernah terfikir yang
dia akan jadi susah kerana cinta. Itu belum masuk yang cuba masuk jarum. Nasib
baik dia jenis yang tak melayan.
‘Ya Allah, berikan hamba-Mu ini petunjuk.’
Dia terlena dalam persoalan yang masih tiada jawapan.
Walaupun hatinya kuat mengatakan yang dia mahu menerima Faiz dan melupakan
Hilmi, tapi dia masih belum yakin seratus-peratus. Masih ada kegusaran. Masih
belum mampu melepaskan cinta yang dipendam hampir sepuluh tahun buat Khairul
Hilmi.
best2.....baru dapat baca n3 yg baru....nk lagi....
ReplyDeletetq emyliana adlin :). semoga terus membaca e-novel ini...
ReplyDelete