2013-04-09

Tanya Sama Hati 26



 http://i1200.photobucket.com/albums/bb325/YANA992/assalamualaikum.png
Ika tersedar dari lena apabila mendengar jeritan dari tingkat atas. Mata yang masih belum dibuka sepenuhnya digosok perlahan. Jam loceng di atas meja solek diambil. Enam setengah pagi. Budak mana pula yang menjerit pagi-pagi buta ni? Memang nak kena ‘basuh’ budak-budak ni.
Sudah dua bulan dia menjadi warden di sini. Daripada mencari rumah sewa yang mahal di luar, baik dia menabur bakti di sini. Rumah pun besar. Dapat elaun lagi. Bukan susah sangat pun menjaga budak-budak yang dah besar ni. Cuma inilah masalahnya, bising. Menjerit memang rutin harian. Pelik jadinya kalau tak dengar suara nyaring pelajar-pelajar perempuan ini. Boleh bergegar satu blok. Sabar sajalah.
Ika bangkit dari katil. Mencapai tuala dan melangkah malas ke bilik air. Sesekali dia menutup mulut menahan kuap. Biasalah kalau hari Isnin, malasnya lebih sikit. Pintu bilik air ditutup rapat. Hanya pancuran air yang kedengaran.
Baju kurung Riau berbunga merah hitam disarung ke badan. Bibir dicalit sedikit gincu. Tas tangan dan beg komputer riba dicapai. Pintu rumah dikunci. Beberapa pelajar perempuan yang kebetulan lalu di situ melempar senyuman dan dibalas mesra oleh Ika.
Kereta dipandu tenang ke bangunan fakulti. Tak adalah jauh sangat nak memandu hari-hari. Kepala pun tak pening nak mengadap kesesakan lalulintas. Hati pun tak panas. Nak mengajar pun tenang. Barulah seronok hidup. Tapi mungkin lagi seronok kalau ada pemandu. Hari-hari diambil dan dihantar. Lagilah tak perlu pening kepala nak fikirkan jalan mana yang nak dilalui.
Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Faiz! Nyenyak betul dia tidur semalam sampai ke pagi tak ingat apa-apa. Kesian Faiz. Cepat-cepat dia menyeluk tas tangannya. Telefon bimbit.  Dibuka dan memang ada mesej daripada lelaki itu. Memang tak pernah gagal mengirim mesej setiap pagi.
“Assalamualaikum si manis. Selamat pagi. Have a good day.”
Ringkas tapi tetap buat Ika ukir senyum lebar. Pandai betul budak nerd ni ambil hati. Tak sangka betul. Diam-diam ubi berisi jugak rupanya. Ika tekan butang balas.
“Waalaikumussalam si kacak. Selamat pagi. Have a good day too.”
“Hai Ika. Pagi-pagi lagi dah tersenyum bagai. Pakwelah tu.” Tegur Dr. Fatimah yang kebetulan lalu di situ.
“Eh, tak adalah doktor. Kawan.” Nasib baik tak kantoi. Tapi  memang kawan pun.
“Kalau pakwe pun apa salahnya. Harap-harap cepatlah naik pelamin ya?” Seloroh Dr. Fatimah. Ika sudah tersipu malu. Ketara sangat ke dia senyum tadi?
Tapi yang penting, dia rasa seronok. Kiriman mesej yang diterima setiap pagi dari Faiz buat hari-harinya ceria. Adakah itu satu petanda yang cuba Tuhan tunjukkan kepadanya? Patutkah dia mengikut kata hatinya sekarang? Terima Faiz dan lupakan Hilmi.
‘Ika, semuanya terpulang kepada diri kau. Hanya kau saja yang ada jawapan untuk itu.’
>> 
Ika merenung penuh pengharapan ke arah telefon bimbitnya. Mengharapkan yang Faiz akan menghubunginya. Biasanya pada waktu-waktu begini Faiz tak pernah lupa untuk menghubunginya. Tapi malam ni, lain pula. Sejak tadi dia menunggu. Jangankan telefon, sms pun tak ada. Ika tak senang duduk. Mana Faiz. Tak sihat? Tapi pagi tadi ceria saja.
Ika sudah berkira-kira mahu menelefon tapi dia batalkan niat itu. Dia malu. Sepanjang dua bulan ini, hanya Faiz yang memulakan perbualan. Bukan dia. Bukan dia tak mahu tapi dia malu. Dia tak biasa dengan semua ini.
‘Telefon saja Ika, tak salah pun. Kau cuma nak bertanya khabar saja.’
Sekali lagi dia memegang telefon. Nama Faiz sudah tertera di situ. Cuma perlu tekan butang panggilan saja.
‘Do it, Ika. Do it.’
Panggilan disambungkan. Tiada yang menjawab. Ika hampa. Faiz berkecil hati? Apa dia dah buat? Tak puas hati. Ika cuba sekali lagi. Masih belum berjawab. Kali ini dia mengalah. Takkan Faiz pun sama macam kawan si Anas? Bukan main lagi hari tu cakap hati masih sama. Lelaki, semua sama. Menyampah betul.
Ika memeluk tubuh. Wajah kacak Ady Putra yang sedang senyum memikat di televisyen langsung tak menarik perhatiannya. Kenapa dia perlu rasa sakit hati? Kenapa dia perlu rasa sedih begini? Faiz bukan kekasihnya. Kawan saja. Tapi kenapa dia perlu rasa semua itu? Ika buntu. Dia kecewa. Perasaan sama yang dirasai sewaktu Khairul Hilmi menghina dirinya dulu.
Tak tahu kenapa hatinya terlalu sensitif saat ini. Air mata sudah bergenang. Tunggu masa nak mengalir saja.
‘Ika, kau ni dah kenapa? Kau juga yang cakap Faiz tu kawan saja. Yang kau nak sedih sangat ni kenapa?’
Itu semua tetap tidak mengurangkan rasa kecewa dan sedihnya. Entah kenapa dia rasa mahu sangat dengar suara lelaki itu malam ini. Rasanya macam tak boleh buat kerja selagi tak dengar suara Faiz.
‘Ika, mengaku saja yang kau memang dah jatuh cinta dengan Faiz. Jangan ego. Kau memang dah jatuh hati dengan dia. Mengaku saja!’
Setitis air matanya gugur.
“Ya, memang aku dah jatuh hati dengan kau!” Tak dapat ditahan lagi rasa hatinya. Memang itu yang sebenarnya. Seketika hatinya rasa lapang dan kemudian kesakitan kembali menyerang. Rasa terhimpit. Mana Faiz?
Telefon yang berdering cepat-cepat dicapai. Nama Faiz yang tertera buat hatinya rasa ingin melompat. Cepat-cepat dijawab.
“Assalamualaikum. Ika ada call saya ke tadi?” Tenang suara Faiz buat hatinya yang tadinya ceria kembali sakit. Orang tunggu panggilan dia setengah mati. Dia boleh tenang saja. Tak guna betul.
“Waalaikumussalam. Ya. Tapi orang tu tak nak angkat.” Ada nada merajuk. Sesekali dia mengesat air matanya. Masih jelas kedengaran suara serak dek kerana menangis tiba-tiba tadi.
“Hei, kenapa ni? Are you ok? Suara macam orang lepas menangis saja.” Cepat Faiz tangkap. Takkan menangis sebab dia tak jawab panggilan kut?
“Tak adalah. Selesema. Awak pergi mana tadi?” Bohong. Tak apa, takkan nak cakap dia menangis sebab Faiz tak jawab panggilan. Buat malu aje.
“Dah makan ubat?” Soalan Ika masih tak dijawab.
“Dah. Kenapa tak jawab tadi?” Sekali lagi Ika lontar soalan yang sama. Hujung baju sudah berkedut seribu dipulasnya.
“Kenapa? Ika rindu saya ya?” Serkap Faiz.
“Ish, tolonglah.” Merah padam mukanya. Nampak sangat ke? Tapi adalah sikit-sikit.
“Saya sakit perut tadi. Salah makan mungkin.” Faiz menekan perutnya yang masih terasa memulas. Ini pasti penangan cendol tepi jalan yang dia makan petang tadi. Taubat dia tak nak makan lagi. Cukuplah sekali terkena. Setengah mati rasanya berulang-alik ke tandas. Tuala pun tak sempat nak kering. Mana taknya, sepuluh minit sekali sejak sejam yang lalu dia asyik berlari keluar masuk dari tandas. Haru.
“Oh, patutlah ada bau sikit-sikit ni.” Cuba berlawak. Menenangkan hati yang tiba-tiba rasa tak keruan. Berdentam-dentum bunyinya. Mengalahkan bunyi bising dari tingkat atas blok kediaman.
“Bau apa? Wangi tak?” Terhambur ketawa Faiz yang masih menahan sakit perutnya. Tapi rasanya macam hilang sikit bila dengar suara dan ketawa Ika. Memang sah angau.
“Eee….tak malu.” Sekelip mata, hilang rasa sakit hati dan marah. Sudah bertukar ceria. Inikah namanya kuasa cinta? Kenapa boleh jadi begitu mengasyikkan? Patutlah orang bercinta nampak ceria sentiasa.
“Faiz suka dengar Ika ketawa macam ni.” Ketawa Ika terhenti. Pipinya makin memerah. Kenapa Faiz suka buat dia tersipu begini? Oh, memang dia betul-betul terpaut hati.
‘Ika, luahkan sekarang! Ini peluang kau.’
“Awak dah makan ke?” Soalan lain yang keluar. Ika tetap Ika.
“Sakit perut macam mana nak makan.” Perutnya kembali memulas tapi Ika masih di talian.
“Oh, lupa.” Ika diam. Menyusun ayat. Macam mana dia nak bagitahu Faiz. Dia tak biasa benda-benda begini. Macam mana orang lain begitu senang melakukannya?
“Ika, I call you later. I need to…ah. Assalamualaikum.” Tak sempat Ika nak jawab salam. Talian telah diputuskan. Sekali lagi Ika hampa. Ah, mungkin Faiz betul-betul tak tahan tu.
Dia senyum sendiri. Macam mana dia boleh jatuh cinta sampai macam ni? Kalau dengan Khairul Hilmi dulu, tak adalah sampai senyum seorang diri begini. Dan yang pelik, bagaimana dia boleh seberani itu? Walaupun hanya memulakan perbualan telefon tapi itu sudah satu peningkatan. Mana pernah dia buat begitu sebelum ini.
Senyuman masih tak lekang dari bibirnya. Wajah kacak Ady Putra yang tadinya tak menarik perhatiannya kini sudah menjadi tatapan matanya. Tapi tak lama. Ady Putra ke mana, fikirannya pun entah ke mana. Memang sah dah gila bayang!
Telefon bimbit kembali dicapai. Dia menaip sesuatu.
“It’s ok. Take ur time. Awak rehatlah malam ni. Semoga cepat sembuh. Lagi satu, lain kali sebelum makan basuh tangan tau :)
Mesej dihantar. Senyuman makin memekar.
‘Ika, Ika…memang sah kau dah jatuh cinta dengan dia. Apa lagi yang kau nak nafikan?’
Tak ada apa yang dia perlu nafikan. Sudah tiba masanya untuk dia mengucapkan selamat tinggal buat cinta Khairul Hilmi dan mengalu-alukan kedatangan cinta Faiz. Khairul Hilmi sudah bahagia dan dia juga ada hak untuk rasa bahagia sebagaimana lelaki itu. Dia mahu buktikan yang dia juga mampu bahagia walaupun bukan dengan lelaki bernama Khairul Hilmi.
‘Kita tak ditakdirkan bersama. Tapi rasa cinta dan kenangan yang pernah tercipta antara kita akan jadi sejarah yang tak mungkin saya lupa. Selamat tinggal Hilmi.’
Ika tekad. 

p/s: ada sesuatu yg akan berlaku pada bab seterusnya. apa???????????nntikan saja
 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhOhYJDHYpA8-QxOGA_Frnp9QxnSoK8CGALcjk8tpn14EjznIwFIc0h4tNhmCf_trOmakjG_AaclBGQskFjj2_-XDp2BGwZ2CsHP6TNehcLLpeR8Umgzb37ygws-tiNECDovGeSNFLEKtQ/s1600/thanks+for+reading+.jpg
 luv 
-lynn allyna-

No comments:

Post a Comment