2013-04-17

Tanya Sama Hati 27



 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhELEy0X5jxH0e891b4sis78D7vi92xG7i5NuqqpgsO4bmgeYrE6pNIZ2r7I9XKQ-moHvuJiieOGm_WTT2W-tNjcATR5Bd6eGDua-4mLadhI3barSe9abkKOmalq58aR7HIxuT-7nWX8p4/s1600/assalamualaikum1.png)
Bab 27
Hilmi tak senang duduk. Sekejap dia berdiri. Sekejap dia duduk semula. Kemudian berdiri dan mundar-mandir. Sesekali matanya memandang lampu yang menyala merah. Maknanya masih belum selesai.
“Bertenang Mi. Doa banyak-banyak. Insya Allah, semuanya akan berjalan lancar.” Pujuk Puan Zalina.
“Dah lama sangat ni ma.” Resah di hati tak dapat disembunyikan lagi.
“Puan Zalina. Macam mana Jenny?” Terkocoh-kocoh Puan Wong mendapatkan Puan Zalina yang sedang sabar menantikan Nur Jannah yang sudah dibawa masuk ke bilik bersalin sejak sejam yang lalu. Tuan Wong mengekor di belakang.
“Dia masih ada di dalam. Duduklah Puan Wong.” Tangan mereka bertautan kemas. Masing-masing mengharapkan perkara yang sama. Keselamatan kedua-dua nyawa yang sedang bertarung sekarang.
Hilmi menghampiri ayah mertuanya. Tangan itu diraih ke dalam genggaman tangannya. Disalam mesra. Tuan Wong menepuk belakang Hilmi. Dia tahu Hilmi sedang risau. Dia juga.
Everything will be ok.” Tuan Wong cuba beri sedikit semangat kepada menantunya.
Semua yang ada menanti penuh debar. Setengah jam lagi berlalu tanpa ada berita. Hanya Encik Zainal yang tiada bersama mereka kerana ada urusan di Johor. Pagi esok baru dia akan bertolak pulang. Zaza, adik bongsu Hilmi masih dalam perjalanan dari universiti. Mungkin sekejap lagi akan sampai.
“Abang, agak-agaknya anak kita nanti ikut muka siapa ya?” Nur Jannah mengusap perut perutnya yang sudah masuk bulan kesembilan. Membilang hari menunggu si kecil lahir ke dunia.
“Mestilah ikut muka hensem abang. Anak kita kan lelaki.” Pantas Hilmi menjawab. Sebagaimana isterinya tak sabar menantikan orang baru ini lahir, begitu juga dirinya.
“Perasan betul. Tapi I nak sangat baby kita ikut muka I.” Dia melentokkan kepalanya ke dada Hilmi. Lepas bersalin mesti dah tak boleh nak bermanja macam ni. Ambil peluang selagi masih ada masa.
“Kenapa pula?” Tangannya turut sama diletakkan di atas perut isteri yang membulat.
“Entah. Supaya abang dan baby sentiasa ingat kat I kot.” Seloroh Nur Jannah. Pergerakan bayi di dalam perut buat dia sangat bahagia.
“Ada pula macam tu. Nak lupa macam mana kalau hari-hari ada depan mata.” Hilmi cuit hidung isterinya. Nur Jannah hanya senyum.
“Manalah tahu umur tak panjang.” Masih dalam nada bergurau.
“Dah mula dah. Selalu sangat cakap macam tu. Abang tak sukalah.” Bukan baru kali ini dia dengar. Dah beberapa kali. Dia tak suka.
“Mi, Mi nak minum? Mama pergi beli ya?” Hilmi tersedar daripada lamunan. Wajah tenang mamanya tak mampu nak hilangkan resah di hatinya. Macam-macam perkara negatif yang bermain di benaknya. Rasanya sudah terlalu lama isterinya di dalam. Kenapa masih tak keluar? Ya Allah, selamatkanlah kedua-duanya.
“Tak apalah mama. Mi tak ada selera.” Hilmi tunduk. Puan Zalina mengangguk. Dia faham perasaan anaknya. Dia juga bimbang.  
Lampu merah sudah terpadam. Cepat-cepat Hilmi bergegas ke pintu yang masih tertutup. Puan Zalina juga tak jadi nak pergi. Langkahnya diatur laju merapati anaknya. Begitu juga Puan dan Tuan Wong. Debaran di dada masing-masing makin menggila.
“Doktor! Macam mana isteri dan anak saya?” Sepantas kilat Hilmi bertanya apabila Doktor Marina keluar dari pintu bilik bersalin.
“Kami berjaya selamatkan bayi encik tapi keadaan isteri encik kritikal. Kita berdoa saja agar semuanya selamat.” Jawab Doktor Marina tenang. Pendarahan yang dialami oleh si ibu akibat terjatuh terlalu banyak.
Hilmi terduduk. Begitu juga Puan Zalina dan kedua-dua orang tua Nur Jannah. Lemah longlai seluruh badan. Terasa diawang-awangan. Terbayang oleh Hilmi darah merah pekat yang mengalir membasahi kain putih yang dipakai isterinya. Entah macam mana Nur Jannah boleh terjatuh semasa membersihkan bilik air pagi tadi. Sudah puas dilarang tapi wanita itu tetap degil. Katanya sikit sahaja.
“Sabar Mi. Doa banyak-banyak. Nur Jannah kuat orangnya. Dia pasti takkan apa-apa.” Hanya itu yang mampu dikatakan oleh Puan Zalina. Dia juga sedang berperang dengan perasaan tapi dia harus kuat demi anaknya.
“Mi takut ma. Mi takut. Mi tak mahu kehilangan Nur Jannah.” Hilmi mengongoi. Sudah tidak kisah apa kata orang yang melihat. Dia betul-betul takut saat ini.
“Jenny, kenapa boleh jadi begini. Ini semua salah mummy. Maafkan mummy.” Puan Wong memukul dadanya beberapa kali. Jenny satu-satunya anak yang dia ada. Cukuplah berpisah seketika dulu. Dia sudah tak sanggup lagi. Kalau boleh diganti nyawa, dia rela.
“Doktor.” Panggil seorang jururawat. Doktor Marina bergegas masuk semula ke dalam.
Hilmi juga turut bergegas mengikuti langkah Doktor Marina tapi cepat dihalang oleh jururawat berkenaan.
“Maaf encik. Encik tak dibenarkan masuk.” Pintu bilik itu ditutup buat kedua kalinya. Hilmi terduduk di situ. Air mata sudah membasahi bajunya. Dia sudah kehilangan semangat.
Puan Zalina juga tak berdaya nak memujuk anaknya lagi. Dia juga sudah lemah longlai. Terbayang wajah menantu kesayangannya.
‘Ya Allah selamatkanlah menantuku. Kuatkan semangatnya Ya Allah.’
Beberapa minit kemudian, Doktor Marina keluar semula. Wajahnya sudah cukup mengkhabarkan berita yang paling tak mahu didengar oleh mereka. Puan Wong rebah tak sedarkan diri. Puan Zalina mengurut dada. Dia pejam mata. Kosong mindanya.
‘Ya Allah, begitu sekejap Kau pinjamkan dia untuk kami.’
Hilmi longlai di lantai. Mindanya juga kosong. Adakah dia sedang bermimpi?
>> 
Wajah bersih Nur Jannah ditatap sepuas-puasnya. Dia masih tak dapat terima apa yang sedang berlaku sekarang ini. Kain putih yang membaluti tubuh isterinya saat ini sama seperti pakaian yang dipakai oleh wanita ini semalam. Putih bersih. Sebersih wajah wanita ini. Air mata ditahan agar tak menitis.
‘Kenapa sayang tinggalkan abang? Abang masih perlukan sayang.’ Rintih hatinya. Tolong katakan kepadanya yang ini hanyala mimpi dan lakonan semata. Isterinya tak mati. Isterinya masih hidup.
“Mi, dahlah tu. Tak baik kita biarkan jenazah ni lama-lama.” Encik Zainal yang bergegas pulang malam tadi memujuk anaknya. Mereka sekeluarga masih lagi dalam keadaan terkejut. Lebih-lebih lagi Hilmi. Langsung tak bercakap sejak semalam.
Hilmi mengundurkan diri, memberi laluan kepada pengurus jenazah untuk menyelesaikan urusan mereka. Sedikit pun dia tak mengalih pandang daripada sekujur tubuh milik arwah isterinya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia memeluk tubuh kaku itu sepuasnya. Tak mahu dia lepaskan. Tak mahu berpisah. Setitis air mata gugur. Dibiarkan saja. kemudian semakin mencurah saat wajah itu sudah hilang disebalik kain putih.
Suara tangisan anak kecil langsung tak menarik perhatiannya. Dia lupa. Lupa masih ada satu lagi nyawa yang memerlukan dirinya untuk bergantung hidup.
‘Sayang…jangan pergi. I need you.’ Saat sekujur tubuh tak bernyawa itu diangkat memasuki keranda, Hilmi masih kaku di situ. Dia hanya mampu melihat. Hancur luluh hatinya.
“Mi, yang lain dah sedia nak usung jenazah. Kita pergi ya Mi.” Encik Zainal pegang bahu anaknya. Sedih dia melihat keadaan Hilmi. Berat dugaan yang ditanggung oleh anak sulungnya ini.
Hilmi tunduk. Mengumpul sedikit kekuatan.
‘Ya Allah, beri aku sedikit kekuatan.’ Hilmi bangkit. Keranda yang berisi dihampiri. Diangkat dan diletakkan di atas bahu. Beberapa orang yang lain juga membuat perkara yang sama. Van jenazah sudah sedia menanti di perkarangan rumah.
Keranda dimasukkan ke dalam van. Seketika, dan terus dibawa pergi. Hilmi duduk menghadap keranda. Dia memandang tak berkalih. Air mata yang masih galak ingin mengalir ditahan. Hati cuba dikuatkan. Pasti Nur Jannah tak suka kalau dia terus menangis. Dia mahu isterinya pergi dalam keadaan tenang dan aman.
“Abang, comel tak baju ni? Geram betul I tengok.” Nur Jannah memegang baju kecil yang comel berwarna biru muda. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.
“Sayang, dah banyak sayang beli ni. Nak beli lagi ke?” Keluh Hilmi. Ditangannya saja sudah ada empat pasang baju bayi. Kalau dah namanya perempuan. Tengah sarat begini pun masih ada nafsu nak membeli-belah. Dia geleng kepala.
“Tak apalah. Baju boleh pakai. Beli banyak-banyak senang. Lepas bersalin nanti tak payah susah-susah nak beli. Dah tak ada masa.” Tangannya beralih pula kepada baju kecil berwarna hijau muda. Ada topi sekali. Diikutkan hati, semua dia mahu borong.
“Yang ni pun comelkan? Geramnya. Mesti comel kalau baby pakai baju ni. Mama nak belilah.” Nur Jannah mencapai sepasang baju yang digantung. Ceria bukan main. Hilmi hanya membiarkan saja. Asalkan isterinya bahagia. Ikutkan sajalah.
“Apa lagi ya tak beli? Baju sudah, botol susu dah ada, mandian, tilam, ermmm…” Nur Jannah garu kepala. Masih memikirkan apa yang kurang bagi menyambut kelahiran putera tersayang.
“Abang, apa lagi ya?” Hilmi sudah terduduk di kerusi. Penat. Macam mana isterinya masih boleh bertahan dan bertenaga dengan perut yang sarat begitu?
“Dahlah tu sayang. Dah banyak yang sayang beli ni. Kat rumah pun dah penuh satu bilik. Kita balik ya?” Pujuk Hilmi. Nur Jannah sedikit kecewa. Hilang terus senyum manis di bibirnya. Dia masih tak puas. Rasanya masih ada yang kurang.
“Tapi ada lagi yang tak dibeli ni.” Dia membelek barang-barang yang baru dibeli. Tak puas hati. Enam beg plastik. Semuanya berisi barang-barang buat si kecil.
“Lain kali kita datang lagi. Abang takut, kita tak sempat ke hospital nanti sebab sayang terberanak kat sini.” Cuba berseloroh. Isterinya masih lagi memuncung.
“Kita balik ya?” Nur Jannah setuju dalam terpaksa. Dia mahukan yang terbaik buat anaknya nanti.
“Mi, jom kita balik. Hari dah tengahari ni.” Encik Zainal tepuk bahu anaknya. Menyedarkan Hilmi dari lamunan.
Hilmi meraup muka. Tiada lagi Nur Jannah. Kini hanya ada pusara wanita itu yang mampu dilihat. Tanah merah dipandang dengan hati yang sayu. Dia harus belajar untuk menerima hakikat. Hakikat bahawa Nur Jannah, isteri yang dicintai sepenuh hati telah meninggalkannya untuk selama-lamanya.
‘Abang doakan sayang bahagia di sana. Abang akan tetap cintakan sayang buat selama-lamanya.’ Berat untuk dia melangkah pergi. Selangkah, dua langkah, dia kembali memusingkan kepala. Terlalu berat. Pusara itu ditatap lagi.
‘Abang akan selalu datang melawat sayang.’
Encik Zainal menarik tangan anaknya. Dia tahu perasaan yang ditanggung anaknya. Tapi anaknya perlu tabah. Ini semua ketentuan Tuhan. Pasti ada hikmahnya. 

 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhOhYJDHYpA8-QxOGA_Frnp9QxnSoK8CGALcjk8tpn14EjznIwFIc0h4tNhmCf_trOmakjG_AaclBGQskFjj2_-XDp2BGwZ2CsHP6TNehcLLpeR8Umgzb37ygws-tiNECDovGeSNFLEKtQ/s1600/thanks+for+reading+.jpg

5 comments:

  1. laaa nurjannah dh xde...sedih..huhu

    ReplyDelete
  2. huhuhu...xmo sedih2 eija n emyliana...anyway..thnks sebab sudi baca Tanya Sama Hati..teruskan membaca ya!! muahhsss

    ReplyDelete
  3. sedih..huhuhu..

    selamat berkenalan akak..bce nvel akak best la..
    akak terbaik la karya akak..

    http://misszbiela.blogspot.com/ (follow me)

    ReplyDelete
  4. terima kasih biela nabilah...akak budak baru lagi biela..anyway terima kasih sekali lg sebab sudi baca e-novel ni...

    ReplyDelete