Bab 28
Hilmi berkurung di biliknya. Makanan langsung tak
disentuh. Anak? Dia masih tak lihat anaknya. Cuma sekali waktu azankan bayi
lelaki itu di hospital semalam. Baru sehari tapi dia sudah tak tahan menanggung
rindu yang teramat. Betapa dia berharap agar semuanya hanyalah mimpi semata.
Isterinya masih ada.
‘Kenapa mesti jadi begini? Kenapa sayang tinggalkan
abang? Abang tak boleh hidup tanpa sayang. Sayang baliklah…’ Rintihan yang
hanya dia sendiri yang dengar.
Bantal Nur Jannah dipeluk erat. Masih ada bau harum
milik Nur Jannah di situ. Air matanya membasahi bantal bersarung ungu itu.
Lencun. Dia rindu. Mahu saja dia menjerit agar semua orang tahu betapa hatinya
sangat pedih menanggung rindu.
“Sayang…abang rindukan sayang. Abang tak boleh hidup
begini.” Hilmi mengongoi. Sakitnya dada. Sesak.
Puan Zalina menolak daun pintu perlahan. Dia juga masih
bersedih. Kehilangan menantu kesayangan secara tiba-tiba, siapa yang dapat
menduga? Tapi hidup perlu diteruskan. Zuriat yang ditinggalkan arwah memerlukan
kasih sayang mereka yang masih hidup.
“Mi, dahlah tu. Dah sehari suntuk Mi duduk kat sini. Tak
makan, tak minum. Janganlah macam ni Mi. Sedih mama lihat Mi macam ni.” Pujuk
Puan Zalina. Mengusap perlahan belakang anaknya. Air matanya mengalir tanpa
dipinta.
“Semua ini dugaan Tuhan buat kita Mi. Sebanyak mana kita
sayangkan arwah, banyak lagi Tuhan sayangkan dia. Kita harus terima kenyataan
Mi. Kita harus kuat.” Puan Zalina menyeka air matanya. Hilmi membisu seribu
kata. Hanya esak tangis yang kedengaran.
“Mesti arwah tak suka lihat keadaan Mi macam ni. Mi
mesti bersyukur sebab hanya arwah seorang saja yang tinggalkan kita. Mi masih
ada anak Mi. Bangunlah Mi. anak Mi perlukan kasih sayang Mi.” Esak tangisnya
mengisi ruang kosong bilik. Hilmi masih tak beri apa-apa respon. Masih tetap
memeluk bantal.
“Mama keluar dulu. Anak Mi menangis. Mungkin dia mahukan
ayahnya. Mi bangun ya sayang. Bersihkan diri. Solat. Mohon doa supaya
ditenangkan hati.” Tubuh anaknya diusap penuh kasih.
“Mama, boleh mama bawa anak Mi ke sini?” Puan Zalina tak
jadi keluar. Dia berpaling semula ke arah Hilmi yang sudah menunjukkan wajah.
Pantas senyuman diukir. Air mata kesyukuran mengalir lagi.
“Ya, nanti mama ambil.” Terkocoh-kocoh Puan Zalina
keluar untuk mendapatkan cucunya. Dia harap anak ini akan mengurangkan rasa
sedih di hati Hilmi.
“Cucu nenek, kita pergi jumpa papa ya?” Bayi kecil itu
diangkat perlahan. Tangisannya terhenti. Mungkin tahu yang dia akan bertemu
dengan ayahnya.
Bayi kecil yang berada di pangkuan mamanya direnung
lama. Satu-satunya peninggalan arwah isterinya yang paling bernilai. Dia sudah
abaikan amanah ini. Dia bersalah. Dia berdosa.
‘I nak sangat baby kita ikut muka I…Supaya abang dan
baby sentiasa ingat kat I kot.’ Terngiang-ngiang kata-kata arwah isterinya
beberapa minggu lalu. Macam tahu-tahu saja yang dia akan pergi.
“Sayang memang ikut muka mama. Mata mama, hidung mama.”
Hilmi menyentuh lembut pipi si comel yang masih kemerah-merahan.
“Mi nak pegang?” Hilmi memandang ibunya. Mampukah dia
memegang bayi kecil ini?
Tangan dihulur. Dikuatkan semangat. Puan Zalina
menghulurkan bayi kecil itu kepada Hilmi. Si kecil bertukar tangan. Hilmi tak
lepas memandang anaknya. Serta-merta satu perasaan aneh menyerbu hatinya.
Damai. Tenang. Pertama kali sejak semalam dia mengukir senyum. Pipi anak kecil
itu dikucup perlahan. Sekali lagi.
“Mi kena jaga anak ni baik-baik. Ini amanah Tuhan. Mi
perlu ingat. Ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Dia ambil ibunya, tapi Dia
kurniakan anak yang sihat ni.” Kepala anak kecil itu diusap perlahan. Dia
berkeras mahu membawa anak kecil ini pulang ke rumah walaupun ditegah oleh doktor.
Hanya buat sementara waktu.
“Apa nama baby ni ma?” Hilmi bahagia mendakap di kecil.
Lupa seketika pada kesedihan yang dirasa.
“Belum ada lagi. Apa kata Mi yang bagi?” Usul Puan
Zalina. Senang sedikit hatinya melihat anaknya sudah boleh mengukir senyum.
Hilmi diam seketika. Dulu arwah ada cadangkan beberapa
nama tapi dia tak ambil pusing sangat. Yang penting, anaknya selamat dilahirkan
dulu. Nak bagi nama apa, itu perkara kedua.
“Ilham.” Pantas dia menyebut apabila nama itu terlintas
di benaknya. Nama pertama yang dipilih oleh arwah isterinya. Itu saja yang dia
mampu ingat.
“Sedap nama tu. Ilham cucu nenek, kita tidur dulu ya?
Esok kita nak ke hospital pula.” Bayi kecil sudah bertukar tangan lagi. Kini
kembali ke pangkuan nenek.
“Mi pun rehatlah. Jangan diikutkan sangat perasaan sedih
tu. Nanti makan diri. Ingat, jangan lupa solat dulu. Mama keluar dulu ya?”
Tubuh Puan Zalina menghilang bersama si kecil. Hilmi kembali diselubungi
kesunyian. Dia memandang sekeliling bilik yang seakan suram.
Matanya tertancap pada gambar besar yang tergantung di
dinding. Gambar perkahwinan mereka berdua. Wajah Nur Jannah begitu ceria
walaupun dia tahu Nur Jannah sedang berperang dengan perasaan sedih kerana
diketepikan oleh keluarga. Begitu tabah hati wanita lembut ini. Kenapa dia tak
boleh jadi setabah itu? Kenapa dia tak boleh jadi sekuat Nur Jannah?
Hilmi bangun dari duduknya. Langkah diatur longlai
menuju ke bilik air. Paip air dibuka. Disapu mukanya dengan air yang dingin
itu. Segar seketika. Dia memandang wajahnya di cermin. Sembap. Matanya juga
bengkak kerana terlalu banyak menangis.
“Nur Jannah, abang janji abang akan besarkan anak kita
sebaik-baiknya. Dia akan menjadi seseorang yang akan membanggakan sayang. Abang
janji.” Pancuran air membasahi tubuhnya yang lesu. Dia harus kembali ke alam
nyata. Betul kata mama, pasti ada hikmah di sebalik semua yang berlaku. Dan dia
harap Tuhan akan bersamanya di setiap langkah.
>>
“Macam mana Hilmi?” Tanya Encik Zainal sebaik sahaja
isterinya melangkah masuk ke bilik bersama si kecil.
“Macam tu lah bang. Masih lagi sedih. Kesian Za tengok
dia. Makan tak, minum tak.” Perlahan-lahan dia meletakkan cucunya ke dalam
katil bayi. Kesian anak kecil ini. Tak sempat nak mengenal mamanya. Tak sempat
nak merasa kasih sayang ibu yang melahirkan.
“Dia masih terkejut tu. Nanti, oklah dia tu.”
“Harap-harap macam tulah. Macam mana di masjid tadi?”
Tahlil hanya dilakukan di masjid. Tak sempat nak buat persediaan di rumah.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Cuma tok imam
harap lepas ni Hilmi ada sekali.” Kopiah putih ditanggalkan dari kepala. Dia
menghampiri katil bayi. Senyum terukir bila melihat wajah tenang si kecil.
Kasihnya tertumpah.
“Memang sepatutnya Hilmi kena ada kat sana. Tapi Za tak
boleh nak paksa dia.” Puan Zalina bergerak ke katil. Penat seluruh badan. Nasib
baik ada ramai yang menolong. Kalau tak, mahu pengsan dia menguruskannya
sendirian.
“Dahlah tu Za. Awak rehatlah. Seharian buat kerja. Nanti
sakit pula.” Encik Zainal juga sudah kepenatan. Dari semalam dia tak rehat.
Bergegas pulang dari Johor dan terus menguruskan majlis pengebumian.
“Za kesian tengok Puan Wong tu. Baru nak baik balik
dengan anak perempuan dia, dah kena tinggal sekali lagi.” Puan Wong masih lagi
di hospital. Tekanan darahnya naik mendadak. Kesian, pasti payah untuk dia
terima tamparan hebat ini.
“Takdir Za. Kita merancang, Tuhan yang tentukan
segalanya. Tapi nasib baik dia sempat juga jumpa anaknya.” Pertama kali dia
jumpa kedua-dua orang tua menantunya. Tak seburuk yang disangka. Tuan Wong baik
cuma tak banyak cakap. Mungkin sebab bersedih.
“Itulah. Nasib baik sempat juga jumpa. Patutlah arwah
nak sangat pergi jumpa mummy dan daddy dia. Rupa-rupanya…” Kata-kata Puan
Zalina terhenti di situ. Masih dia ingat betapa takut Nur Jannah waktu mula-mula
melangkah masuk ke dalam rumah besar itu dan betapa gembira wanita itu bila
orang tuanya menerima kehadirannya dengan tangan terbuka.
“Dahlah Za. Dah ajal dia. Mungkin itu semua hanya
kebetulan.” Encik Zainal sudah menutup matanya. Dia betul-betul penat. Masih
ada banyak kerja yang perlu diselesaikan.
Puan Zalina juga turut berbaring. Terbayang wajah lembut
milik arwah menantunya. Setitis air jernih menitik tapi segera diseka.
‘Mama doakan Nur Jannah tenang di sana. Mama akan
sentiasa sayangkan Nur Jannah.’
>>
Nur Jannah senyum. Cantik. Wajahnya berseri-seri. Tudung
putih yang melitupi kepalanya membuatkan wajahnya tampak manis. Dia memangku
anak kecil yang juga sedang tersenyum. Hilmi meraih tangan isterinya. Dikucup
lembut. Tangan itu sejuk sekali.
Nur Jannah hulur bayi kecil itu kepada Hilmi. Senyuman
tak lekang dari bibirnya. Matanya penuh sinar harapan, memandang Hilmi dan si
kecil tak berkelip. Kemudian perlahan-lahan dia mengundur ke belakang. Mulut
Hilmi terkunci untuk memanggil isterinya. Sekujur tubuh itu makin menjauh dan
terus menghilang.
“Nur Jannah!” Jerit Hilmi kuat. Dia terpinga-pinga.
Cahaya terang sebentar tadi bertukar menjadi gelap gelita. Dia pandang
sekeliling. Nur Jannah tiada di sisi. Anak kecil juga tiada di pangkuannya.
Mana mereka pergi?
Hilmi meraup mukanya. Dia beristighfar. Dia mimpi.
Mimpikan Nur Jannah. Lampu tidur dibuka. Nur Jannah memang tiada di sisinya.
Hanya ada bantal. Nur Jannah memang sudah tiada dan tak akan ada lagi. Dia
harus terima hakikat itu.
“Abang redha sayang. Abang redha. Pergilah.”
pssttttttt!!!nak promote sket..hehe..jom3..kite g pesta buku kat pwtc. sy akan ada kat sana pada hari rabu (1/5/2013). time ni cuti hari pekerja tau.bleh la korang datang!!(org yg tengah tulis ni bajet cam ade je org nak jumpa ngan dia) miahahaha...tapi teringin jugakla nk jumpa ngan awak2 yg dah banyak tolong n sentiasa sokong kerjaya n karya saya ni.
satu lagi..tempat tu...jgn kompius...Kaki novel ada 2 booth. satu kat ruang legar (1st floor) n satu lagi kat bilik mawar (2nd floor). saya akan berada di bilik mawar tau kat tingkat 2. harap sgt dapat jumpa korang kat sana!!
anyway...thanks for reading my e-novel Tanya Sama Hati.
c u thereeeeee!!!!
No comments:
Post a Comment